
Pagi itu terasa hening. Mulus. Bukan selalu dapat keluar rumah menghirup udara segar dengan suasana kehijauan terbentang di depan mata. Yang ada di rumah Abrar hanyalah simen batu yang kaku tanpa kata. Alhamdulillah. Nampak baldi buruk di laman tepi rumah. Mantan baldi yang ayah gunakan khusus untuk mengecat rumah warna hijau setahun yang sudah. Penuh dengan rumput-rumput liar yang mula dicabut semalam. Itu memang azam balik rumah kali ini, mahu cabut rumput keliling rumah, walaupun ayah kata bila-bila masa sahaja boleh panggil pakcik tukang mesin rumput. Tapi rasa macam takkan pernah habis cabut rumput-rumput ini, walaupun sudah dicabut tapi macam tak terasa kesannya. Melihat rumput-rumput yang belum dicabut, terasa banyak lagi rupanya kerja yang perlu diselesaikan. Kan begitu juga perasaan rijal dakwah, jalan masih panjang, kerja tak menang tangan. Jadinya, selalu bertanya diri, betulkah setiap detik penuh terisi? Demi masa, firman Tuhan dalam warkahNya. Procrastination is the thief of time, madah Inggeris berbicara. Tapi itulah manusia yang mengingat mati cuma kadang-kadang sekali. Padahal apabila mati itu jadi motivasi, seolah-olah tiada esok hari. Benih di tangan terus ditabur. Disiram, dibaja tanpa libur-libur.
Pergi pula pada pokok-pokok bunga. Tak berapa banyak jenisnya, dan tak berapa ku kenali namanya. Subhanallah ciptaan Sang Esa, ada yang warna merah, warna hijau, hijau dan hijau.Tapi banyak yang sudah ‘kerepot’ daunnya, mungkin sudah dimamah usia, tapi yang pastinya adalah kerana kurang disiram. Ya, dulu emak memang rajin. Rajin memekik pada kami ala-ala Badang gagah perkasa supaya menyiram pokok bunganya. Tapi sekarang entah siapa yang menyiram, entah bila kali terakhir disiram. Emak pun sudah hilang kuasa Badang untuk menyuruh kami menyiram. Tapi memang kurang enak melihat pokok yang asalnya menghijau, tapi dicacati daun mati kuning. Pasti begitu juga kondisi hati. Ya, pasti ada bahagian yang kemerah-merahan dan masih basah, tapi apa jadi dengan bahagian yang necrotic, gangrenous and dead? Dalam desahan tarbiyyah dzatiyyah – yang wajib sebagai nasi makanan ruji, dan yang sunat bagai lauk-pauk lazat yang mana tanpanya , ya kita masih boleh kenyang dan rasalah sikit-sikit manis di hujung-hujung lidah apabila enzim ptyalin bersatu dengan kanji masak tapi mungkin makan macam orang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dan tanah dalam pasu itu, kering kontang, sekontang bumi Afrika, sejurus air disiram, ya air itu memang menyerap tapi lambat sekali. Jika betul-betul dibilang masa menggunakan jam randik, pasti lebih dari 10 saat. Hati juga, apabila banyak bahagian yang gelap, masakan boleh menembus cahaya nur huda Ilahi. Cuma bezanya, mata kita sentiasa peka menilai beauty and the beast akan apa yang mata kita tancapi. Tapi adakah hati kita that sensitive?
1 comments:
good sharing..suka dgn gaya bahasa akak..truskan berdakwah dgn penulisan..^___________^
Post a Comment