Saturday, December 18, 2010

A.Y.A.M

Salam wbt.
Ingin berkongsi dengan anda semua perihal ayam.
_________________________________________________________________________
Hari ini, aku ke kedai untuk membeli ayam kerana bekalan ayam mentah di rumahku sudahpun kehabisan. Kebiasaannya, aku akan membeli ayam yang telah siap diproses, yakni ayam tersebut telah dipotong kecil-kecil, dibuang kulit, dan siap dibungkus dalam beg plastik. Bagiku, harganya berpatutanlah juga jika dibandingkan dengan kedai-kedai yang lain. Namun, pagi itu, entah mengapa, nasibku seperti kurang baik. Ayam yang telah siap diproses dalam plastik telah pun habis dijual. Mahu pulang ke rumah dengan tangan kosong, kurasakan agak tidak berbaloi dengan perjalananku yang jauh untuk datang ke kedai tersebut. Aku tekad. Aku mesti beli ayam hari ini juga. Kalau kedai yang selalu aku beli sudah habis, akanku cari kedai yang lain.

Akhirnya, nasibku agak baik. Aku dapat membeli 2 ekor ayam mentah di kedai lain yang berhampiran. Dan harganya sangat murah. Cuma, masalahnya, ayam tersebut adalah ayam bulat. yakni ayam yang masih lagi belum diproses. Ayam yang baru disembelih, dibuang kepalanya, dan juga dibuang bulunya sahaja.

"Hm, takpelah. Senang je kot nak proses ayam ni. Potong, buang kulit, dan basuh je."

Sampai sahaja di rumah, aku terus ke dapur untuk memproses ayam yang baru kubeli itu. Sebelum mula, sempat juga aku lihat beberapa video di youtube untuk cara-cara memotong ayam yang betul. Jujurnya, sangat susah untuk aku potong ayam tersebut. Teringat kembali pesanan ibuku yang sering mengingatkanku untuk membantunya di dapur agar aku boleh belajar sedikit sebanyak cara memotong ayam dan memasak. Disebabkan aku masih tidak biasa memotong ayam, maka, ayam tersebut hampir hancur jadinya.

Setelah selesai proses ayam yang hampir tidak menampakkan rupa ayam itu, aku cuba untuk mengenalpasti bahagian-bahagian ayam yang telah aku potong itu. Aku cuba menyusun bahagian-bahagian ayam tersebut, kedudukan drumstick, wing, peha, breast, dan juga leher. Namun setelah disusun, ketulan-ketulan ayam tersebut masih lagi belum dapat membentuk rupa ayam seperti sebelum aku potong. Aku terus mencuba, terus mencuba, mencuba, dan mencuba, tetapi tetap gagal.....
_____________________________________________________________________

ikhwah/akhawat sekalian,
mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapakah saya menceritakan kisah di atas dalam email kali ini. Maaf dipohon andai email ini telah banyak mengambil sedikit sebanyak masa antum yang sangat berharga itu. Tetapi, niat saya hanyalah ingin memberikan gambaran jelas akan analogi yang ingin saya ceritakan.



Ayam bulat= Islam yang lengkap dan sempurna
Ketulan ayam yang telah dipotong= komponen-komponen dalam Islam (politik, perundangan, ekonomi, etc..)

"Islam merupakan sistem hidup yang lengkap, mencakupi seluruh bidang kehidupan, dan Islam itu ialah:
(1) Negara dan tanah air atau kerajaan dan umat.
(2) Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan.
(3) Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman.
(4) Material dan kekayaan atau hasil usaha dan kecukupan.
(5) Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah (pemikiran).
(6) Sepertimana Islam merupakan akidah yang benar dan ibadah yang sahih, sama sahaja tanpa ada perbezaan."

Seperti yang selalu kita dengar, baca dan fahami akan usul pertama dalam usul isyrin, memang tidak dapat dinafikan akan lengkap dan sempurnanya Islam sebagai Ad-Deen dalam hidup seorang Muslim.

Alhamdulillah, kini para ulama' telah memudahkan ramai orang untuk memahami Islam dengan membahagikan pemahaman tentang Islam kepada beberapa bahagian. Antaranya berkaitan politik, ekonomi, perundangan, persaudaraan, dan banyak lagi. Semuanya dikhususkan dalam bahagian-bahagian tertentu dengan tujuan agar Islam itu mudah difahami dan muda diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat. Sebut sahaja pasal ekonomi Islam, pasti akan ada dibincangkan berkaitan riba, mudharabah, takaful, dan murabahah. Begitu jugalah keadaannya bagi si pemotong ayam yang memotong ayam kepada ketulan-ketulan kecil dengan tujuan agar ayam itu mudah untuk dimakan.

Seperti kisah di atas, ramai di kalangan masyarakat yang mengaku mengikuti Islam sepenuhnya, gagal untuk mencantumkan ketulan-ketulan Islam tersebut sehingga terbentuknya Islam yang syumul.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu. [2:208]

Tidak hairan jika kita dapat lihat seorang ustaz yang sangat alim dalam ilmu-ilmu Islam, yang sangat hebat memberikan ceramah berkenaan isu akidah, ibadah, dan hukum-hakam, tetapi membuat pinjaman dari bank yang mengamalkan riba. Jangan terkejut sekiranya seorang yang baik perilakunya di mata masyarakat tetapi gagal dalam mengendalikan rumahtangganya. Banyak lagi kisah yang seringkali kita dengar dan baca akan perihal mereka-mereka yang tidak dapat melihat bentuk ayam seperti yang difahami oleh si pemotong ayam.

"Saya suka bahagian drumstick dan selalu beli yang tu je."
"Saya tidak suka akan kulit ayam. Jijik!"
"Kalau ada bahagian breast bagi kat saya ye."

Ikhwah/akhawat sekalian,
jika masyarakat hanya melihatkan kepada bahagian-bahagian tertentu sahaja, maka tidak sempurnalah Islam yang telah diturunkan Allah kepada kita. Ketahuilah bahawa kulit ayam yang paling tidak digemari oleh ramai orang juga adalah sebahagian daripada ayam. Oleh itu, semua orang perlu memainkan peranan masing-masing untuk mendalami ilmu dalam semua komponen Islam tersebut.

Bagi kita sebagai seorang daie, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang yang sudahpun nampak akan gambaran Islam yang sempurna itu untuk berusaha menyusunkan komponen-komponen Islam yang lain agar masyarakat akan nampak Islam itu secara keseluruhannya. Tunjukkan pada mereka bahawa kulit ayam juga boleh dimakan jika kena pada cara masaknya seperti menggunakannya dalam membuat sup ayam. Tunjukkan pada mereka juga akan bagaimana indahnya Islam dalam membentuk peribadi seseorang. InshaAllah, bila masyarakat dapat mencantumkan jigsaw puzzle ini, maka mudahlah untuk Islam tertegak di bumi ini semula seperti sebelumnya.

Wallahu'alam.
AFA

p/s sangat susah untuk potong ayam bulat. sangat best jika dalam daurah BM diajar cara potong ayam. =)

0 comments:

Post a Comment