Bilik itu senyap, tapi dalam kesunyian beralun deruan. Deruan kipas di siling yang tak ubah bagai deruan kipas helikopter yang pernah meragut nyawa seorang pelatih. Aku bersandar di dinding, menatap komputer, tapi mindaku mengorak kencang. Fikirkan apakah yang Sang Dia telah Nukilkan di Lauh Mahfuz-Nya yang suci untuk hari yang buat kesekian kali.
Minggu ini, sang suria ibaratnya mula tersenyum padaku setelah sinarnya sekian lama memudar sepi. Dalam pada hatiku gelisah, Dia Melakar pelangi indah buatku. Aku semakin menyayangi lubuk itu. Lubuk yang cukup ideal buatku, dan aku percaya buat para daie yang tidak sabar menyebarkan kebahagiaan yang selama ini dikecapinya. Akhawat yang berjiwa kental, ukhuwwah yang membasahi akhlak dan iman, takungan mad'u yang sentiasa dahagakan ayat-ayat cinta dari Yang Maha Esa.
Ya, aku kenal dia itu. Dia punya bakat tersendiri. Aku semakin tertarik untuk mengenalinya. Kerana aku percaya melaluinya aku akan semakin kenal Pencipta. Dia punyai bakat menulis yang bukan calang-calang. Hasil penanya pernah mewarnai lembaran-lembaran majalah sastera yang bertaburan di luar sana. Mesejnya ringkas dan padat, namun subhanallah, diungkapkan dalam suatu bentuk keindahan perspektif dan gaya bahsa yang tersendiri. Dia penulis muda Islam, ku ingin berdoa agar fikrah Islam lebih mengental dalam dirinya, agar apa yang basah di hati tertumpah pada jiwa-jiwa yang dahaga. Lebih menarik lagi, kerana aku tahu itulah aku suatu ketika dahulu. Gemarkan kata-kata puitis yang indah. Banyak juga pesannya padaku. Katanya bahawa menulis ini ada masanya perlu dipaksa. Katanya penulis yang baik adalah penulis yang mampu menimbulkan suarasa yang berbeza dalam suatu ungkapan madah yang sama. Kataku itu adalah pure passion.
Ya, aku rindukan mereka. Kerana aku masih mahu bertemu dengan mereka lagi pada masa akan datang, berkongsi lorong-lorong zaman dan masa yang sama. Agar aku boleh melambai padanya dan mengajaknya untuk ku pimpin tangan jalan bersama-sama. Lari pun bersama-sama. Jika salah seorang jatuh ku minta tunggu dan bersabarlah.
Ya, dan nun di tanah yang sana, aku tahu semua orang sedang berlumba-lumba. Memerah keringat yang bahan mentahnya adalah keikhlasan dan mujahadah yang istiqamah. Dan mana boleh aku ketinggalan. Aku juga mahu menumpang gerabak yang sama. Kerana aku, takkan pernah mahu menjadi golongan yang keciciran.
Lailatul Qadar
1 week ago
0 comments:
Post a Comment